Kuala Lumpur, Malaysia akan menjadi tuan rumah sesi Ke-9 World Urban Forum (WUF9) pada tahun 2018 dan merupakan bandar kedua di Asia yang bakal menjadi tuan rumah World Urban Forum selepas Nanjing, China pada tahun 2008.
WUF9 dengan “Implementing the New Urban Agenda” akan berlangsung pada 7 hingga13 Februari 2018 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Latar Belakang
World Urban Forum (WUF) adalah satu forum teknikal bukan perundangan yang diadakan oleh UN Habitat, di bandar yang berbeza setiap dua tahun. Forum ini telah menjadi salah satu acara antarabangsa utama bagi bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai cabaran perbandaran.
Objektif dan kaedah pelaksanaan WUF telah dimulakan semasa sesi pertama forum yang diadakan di Nairobi, Kenya, dari 29 April - 3 Mei 2002. Sesi kedua pula telah berlangsung di Barcelona, Sepanyol, 13-17 September 2004; Ketiga di Vancouver, Kanada, 19-23 Jun 2006; Sesi Keempat di Nanjing, China, 3-6 November 2008; sesi Kelima di Rio de Janeiro, Brazil, 22-26 Mac 2010; sesi Keenam di Naples, Itali, 1-7 September 2012 dan sesi ketujuh di Medellín, Colombia, pada 5-11 April 2014.
Terdapat peningkatan yang ketara kepada jumlah penyertaan WUF pada sesi-sesi yang lalu di mana kira-kira 22,000 peserta dari seluruh dunia telah menyertai yang terakhir iaitu WUF7 di Medellín, Colombia. Forum ini mengumpulkan pelbagai pakar dari setiap sektor perbandaran. Para peserta adalah termasuk dan merangkumi pertubuhan bukan kerajaan, organisasi berasaskan komuniti, profesional, institusi penyelidikan dan akademik, profesional, sektor swasta, institusi pembangunan kewangan, media dan badan-badan antarabangsa yang lain sama ada di peringkat antarabangsa, nasional, serantau dan kerajaan tempatan.
Tujuan utama World Urban Forum adalah:
• Sokongan dan peningkatan kesedaran mengenai pembangunan perbandaran yang mampan
• Pengetahuan kolektif ke atas perbandaran yang mampan melalui debat terbuka, pertukaran pengalaman dan amalan terbaik.
• Koordinasi lanjutan dan kerjasama di dalam dan di antara kawasan-kawasan yang berbeza ke arah kemajuan dan pelaksanaan Agenda Habitat
Kesediaan Malaysia
Kesediaan negara untuk menjadi tuan rumah kepada WUF9 ini akan mencerminkan komitmen Malaysia kepada dunia dalam aspek pembangunan bandar yang mampan dan sejahtera. Ini juga selari dengan aspirasi Negara dalam melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG), Conference of the Parties 21 (COP21) - Paris Agreement dan yang terbaharu adalah penerimapakaian New Urban Agenda (NUA) yang telah dipersetujui semasa Persidangan ke-3 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar Mampan - United Nations Conference on Housing and Sustainable Urban Development (HABITAT III) di Quito, Ecuador pada 20 Oktober 2016.
WUF9 adalah forum yang pertama diadakan selepas Habitat III pada tahun lepas, yang merupakan persidangan perundangan global yang dianjurkan setiap 20 tahun untuk mengkaji dan menentukan agenda bandar dan membuka jalan bagi wawasan UN-Habitat ke arah masa depan bandar yang lebih baik.
WUF9 di Kuala Lumpur merupakan platform pertama untuk dibahaskan tentang pelaksanaan dan pencapaian NUA selepas penerimpakaiannya di Habitat III dan yang pertama untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaannya. Semua negara anggota yang mengambil bahagian diminta membuat pelaporan pelaksanaan NUA di negara masing-masing semasa persidangan WUF9 ini.
Penganjuran WUF9 ini dijangka akan menarik jumlah penyertaan seramai 25,000 peserta. Pulangan kewangan secara tidak langsung kepada negara adalah besar melalui kemasukan peserta-peserta luar negara dan merancakkan industri perhotelan dan pengangkutan sekaligus meningkatkan industri pelancongan negara.
Penyertaan dalam forum WUF9 ini adalah percuma dan orang awam serta dan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam bidang perbandaran adalah amat dialu-alukan. Pendaftaran untuk penyertaan kepada orang awam dijangka bermula pada Julai 2017 ini. Melalui forum ini, peserta-peserta akan memperoleh faedah dan amalan terbaik dalam membangunkan bandar ke arah memenuhi matlamat New Urban Agenda pada tahun 2036.
Pihak korporat turut dijemput untuk memberi sokongan kepada acara WUF9 ini sebagai peserta dan penaja melalui inisiatif Corporate Sosial Responsibility (CSR) masing-masing dan boleh berhubung lanjut dengan pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku ‘focal point’ di dalam penganjuran WUF9 ini. SUMBER : KPKT
SUMBER : KPKT