(SELARAS DENGAN SEKSYEN 12A AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976, AKTA 172)
RANCANGAN TEMPATAN
Rancangan Tempatan merupakan satu rancangan jangka panjang yang menentukan arah tuju dan corak pembangunan akan datang bagi sesuatu daerah. Mengandungi peta dan pernyataan bertulis yang disokong oleh garis panduan pelaksanaan. Rancangan Tempatan menerangkan dengan lebih terperinci segala cadangan untuk pemajuan dan penggunaan tanah
Berdasarkan peruntukan Subsesksyen 16(1) dan 16 (2) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) boleh pada bila-bila masa membuat cadangan untuk pengubahan, pembatalan dan penggantian sesuatu rancangan tempatan atau berdasarkan arahan daripada Jawatankuasa kepada PBPT berkaitan perkara tersebut.
APAKAH ITU PUBLISITI AWAL?
Publisiti Awal merupakan satu pendekatan yang kualitatif yang melibatkan seluruh kumpulan masyarakat atau pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan pandangan awal mengenai kajian yang dijalankan.
Selaras dengan kehendak Seksyen 12A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), tujuan publisiti awal ini adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai khasnya penduduk tempatan mengenai penyediaan Rancangan Tempatan ini dan memberi peluang untuk memberi pandangan, cadangan awal, hasrat dan aspirasi untuk diambilkira dalam kajian yang akan dijalankan.
Pihak Majlis Perbandaran Port Dickson ingin menjalankan kajian bagi pengubahan zon guna tanah di dalam Rancangan Tempatan Daerah Port Dickson 2020 No Warta 161 pada 28 April 2011. Sehubungan itu, sebarang cadangan dan pandangan boleh dikemukakan kepada Bahagian Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Port Dickson untuk tindakan lanjut.