OPS BAZAR RAMADAN MPPD (SIRI 4) – PEMERIKSAAN PENGENDALI MAKANAN DAN KEBERSIHAN BAZAR RAMADAN
Port Dickson, 3 Mac 2026 – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah menjalankan operasi pemeriksaan pengendali makanan dan kebersihan Bazar Ramadan di Telok Kemang dan Bandar Port Dickson.
Operasi ini melibatkan seramai 12 orang kakitangan yang terdiri daripada anggota Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD, Jabatan Pelesenan MPPD serta Jabatan Penguatkuasaan MPPD.
Operasi pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat permit, tahap kebersihan Bazar Ramadan serta pematuhan arahan larangan penggajian pekerja warga asing di bawah pentadbiran MPPD. Pemeriksaan turut merangkumi pematuhan larangan penggunaan beg plastik sekali guna dan polistirena, serta penggunaan penyedut minuman hanya atas permintaan.
Sebanyak 11 peniaga melibatkan 17 plot jualan diperiksa di Bazar Ramadan Telok Kemang, manakala 12 peniaga dengan 12 plot jualan diperiksa di Bazar Ramadan Bandar Port Dickson. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikenal pasti, antaranya tidak memakai kasut yang bersesuaian, memakai aksesori seperti jam tangan dan gelang, serta gagal mempamerkan Sijil Pengendali Makanan semasa pemeriksaan dijalankan.
Walau bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan-kesalahan tersebut. Pihak MPPD telah memberikan teguran serta nasihat secara lisan kepada peniaga terlibat dan mengarahkan tindakan pembetulan dilaksanakan serta-merta di lokasi pemeriksaan.
Peniaga di Bazar Ramadan turut diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan. Di samping itu, para peniaga dinasihatkan supaya mematuhi syarat-syarat permit Bazar Ramadan MPPD serta peraturan-peraturan lain yang ditetapkan oleh agensi kerajaan dari semasa ke semasa.





