LAWATAN OLEH BAHAGIAN JALAN JKR NEGERI SEMBILAN KE LOKASI CERUN RUNTUH DI KAWASAN PORT DICKSON
Satu lawatan susulan telah dilaksanakan oleh Bahagian Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan ke kawasan cerun runtuh di Kg Baru, Pantai Purnama, Taman Peranginan Mutiara dan Taman Air Kuning, Port Dickson berikutan surat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian keadaan di lokasi terlibat pada 17 Mac 2026.
Hasil pemeriksaan di tapak mendapati terdapat kegagalan cerun yang menyebabkan runtuhan tanah serta berpotensi menjejaskan keselamatan kawasan sekitar dan pengguna berhampiran. Keadaan cerun didapati tidak stabil dan memerlukan tindakan lanjut bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.
Sehubungan itu, pihak JKR telah membuat penilaian awal dan mencadangkan beberapa langkah mitigasi termasuk kerja-kerja penstabilan cerun, penambahbaikan sistem saliran serta pemasangan perlindungan sementara di kawasan terjejas. Kajian lanjut akan dilaksanakan bagi menentukan kaedah pembaikan yang bersesuaian.
Lawatan ini adalah bagi memastikan tindakan susulan dapat dirancang dengan lebih terperinci demi menjamin keselamatan awam dan kestabilan cerun di kawasan tersebut.





