LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD, TUAN HASNOR BIN ABD. HAMID KE PANTAI BATU 5, PORT DICKSON
Pada 9 Julai 2026, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Hasnor bin Abd. Hamid telah mengadakan lawatan turun padang ke Pantai Batu 5, Port Dickson bagi meninjau keadaan semasa kawasan serta meneliti cadangan penambahbaikan yang dirancang ke arah mewujudkan persekitaran pantai yang lebih tersusun, selamat, kondusif dan berdaya tarikan kepada masyarakat serta para pengunjung.
Lawatan ini turut disertai oleh pegawai daripada Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan serta Jabatan Penguatkuasaan MPPD.
Sepanjang lawatan, pelbagai cadangan penambahbaikan dan cadangan kemudahan awam baharu telah dibincangkan termasuk pelebaran laluan jalan sediaada bagi memperkemaskan susun atur kawasan serta memastikan aliran pergerakan kenderaan dan pengunjung lebih lancar dan teratur. Turut dikenal pasti ialah beberapa batang pokok yang berada dalam keadaan uzur dan berisiko membahayakan keselamatan awam. Sehubungan itu, kerja-kerja penebangan akan dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan risiko serta memastikan kawasan rekreasi ini kekal selamat dan selesa untuk dikunjungi.





