LAWATAN PEMANTAUAN SIAP KERJA DAN PENYERAHAN PROGRAM BANTUAN BAIK PULIH RUMAH DI BANDAR (PBPR) FASA 1 TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengadakan lawatan pemantauan siap kerja dan Penyerahan Program Bantuan Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) Fasa 1 Tahun 2026 pada 21 Julai 2026 bagi meninjau keadaan kediaman penerima bantuan serta memastikan kerja-kerja baik pulih yang telah dilaksanakan menepati skop dan spesifikasi yang ditetapkan.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Tuan Hasnor bin Abd Hamid, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelancongan, Korporat dan Komuniti, Jabatan Kejuruteraan serta pihak kontraktor yang telah dilantik.
Sebanyak tiga (3) lokasi telah dilawati melibatkan dua (2) lokasi di DUN Lukut dan satu (1) lokasi di DUN Bagan Pinang, antaranya Rumah Rakyat Lukut dan Taman Desa Pinang. Lawatan ini bertujuan menjalankan pemantauan terhadap kerja-kerja baik pulih yang telah disiapkan serta memastikan pelaksanaan program memberi manfaat kepada penerima yang layak.





