BENGKEL PENGENALPASTIAN HAZARD, PENAKSIRAN RISIKO DAN KAWALAN RISIKO (HIRARC) PERINGKAT MPPD
Port Dickson, 1 Oktober 2026 – Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah menganjurkan Bengkel Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) Peringkat MPPD bertempat di The Guest Hotel & Spa, Port Dickson.
Bengkel tersebut telah disampaikan oleh Encik Mohd Khairof Fais bin Abd Raop, Pemeriksa Kilang dan Jentera dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan, yang berkongsi pengetahuan serta panduan berkaitan pelaksanaan HIRARC secara sistematik dan berkesan di tempat kerja.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menyemak semula dan menambah baik HIRARC sedia ada, menyeragamkan kaedah serta format penilaian berdasarkan garis panduan JKKP, di samping memperkukuh kefahaman warga kerja MPPD terhadap kepentingan pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pelaksanaan tugas harian.
Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan kepada kaedah mengenal pasti hazard yang berpotensi wujud dalam pelbagai aktiviti dan proses kerja, membuat penaksiran terhadap tahap risiko serta menentukan langkah kawalan yang bersesuaian mengikut keutamaan. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap risiko dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan pencegahan dapat dilaksanakan secara terancang, sekali gus membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan, kecederaan serta insiden berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pada sesi akhir bengkel, Yang Dipertua MPPD, Tuan Hasnor bin Ab Hamid, diiringi oleh Setiausaha MPPD,Encik Mohd. Azizul Hakim bin Zaini serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD, Tuan Haji Muhammad Bazlan bin Abdul Rahman, telah menyampaikan cenderamata kepada penceramah sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran yang diberikan sepanjang bengkel berlangsung.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan MPPD dalam membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai tanggungjawab bersama dalam organisasi. MPPD akan terus memperkukuh amalan kerja yang selamat, sistematik dan berintegriti demi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif, seterusnya memastikan kebajikan warga kerja sentiasa terpelihara serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.





