LAWATAN PEMATUHAN SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN MPPD OLEH JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (JKKP) NEGERI SEMBILAN
Port Dickson, 5 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah menerima kunjungan Pasukan Pengauditan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan bagi melaksanakan Lawatan Pematuhan ke atas Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi Sektor Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Sesi pembukaan telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Hasnor bin Abd Hamid, Yang Dipertua MPPD, diiringi oleh Tuan Haji Muhammad Bazlan bin Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD merangkap Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MPPD, serta barisan Ketua Jabatan MPPD yang terlibat dalam sesi pengauditan berkenaan.
Lawatan pematuhan ini telah dilaksanakan oleh empat (4) orang Pegawai Pemeriksa JKKP Negeri Sembilan, iaitu Encik Mohd Khairol Faiz bin Abd Raof, Puan Kamariah binti Nor, Puan Syazwani binti Sarifudin dan Puan Wahidah binti Ab Rahman.
Sepanjang sesi berlangsung, Pasukan Pengauditan JKKP Negeri Sembilan telah melaksanakan semakan dokumentasi berkaitan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi menilai pelaksanaan serta tahap pematuhan Sistem Pengurusan KKP di MPPD.
Sesi pengauditan turut melibatkan lawatan pemeriksaan tapak ke Pejabat Stor MPPD dan Tapak Semaian MPPD bagi melihat secara langsung pelaksanaan amalan KKP di tempat kerja, mengenal pasti potensi hazard serta menilai langkah kawalan dan tahap pematuhan yang dilaksanakan.
Pelaksanaan lawatan pematuhan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPPD dalam menilai, memperkukuh dan menambah baik Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Lawatan ini turut memberi ruang kepada MPPD untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan serta memastikan pengurusan KKP dilaksanakan secara sistematik, berkesan dan berterusan selaras dengan kehendak perundangan yang berkuat kuasa.
MPPD akan terus komited dalam membudayakan amalan kerja yang selamat dan sihat, memperkukuh tahap pematuhan KKP serta menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja MPPD





