PROGRAM JERAYAWARA BAZAR RAMADAN ANJURAN PEJABAT KESIHATAN DAERAH PORT DICKSON DI BAZAR RAMADAN BATU 4, JALAN PANTAI
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah menghadiri Program Jerayawara Bazar Ramadan yang berlangsung di Bazar Ramadan Batu 4, Jalan Pantai. Program ini merupakan anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson dan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Mohd Faizal bin Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan merangkap ADUN Linggi serta Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson, Dr. Eshter Rishma Sundram.
Program yang bermula seawal jam 4.00 petang ini telah menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara jabatan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di bazar Ramadan sentiasa berada pada tahap terbaik. Antara agensi yang terlibat termasuk Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Port Dickson, JPKK Kampung Si-Rusa serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS).
Sepanjang program berlangsung, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan bazar ramadan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan dan keselamatan makanan. Sesi nasihat individu turut diberikan kepada peniaga mengenai kebersihan diri, penyimpanan makanan, pengurusan sisa dan pencegahan pencemaran silang. Lawatan ke setiap gerai serta penyampaian kit keselamatan makanan turut diadakan sebagai galakan untuk terus mengutamakan aspek penyediaan makanan serta keselamatan makanan.
Dalam masa yang sama, aktiviti promosi kesihatan kepada pengunjung dilaksanakan melalui pembukaan pondok panas, edaran risalah penyakit berjangkit serta hebahan langkah pencegahan khususnya semasa musim perayaan. Pendekatan turun padang ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan makanan dan amalan gaya hidup sihat.
MPPD komited untuk terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan dalam memastikan bazar Ramadan di sekitar daerah Port Dickson kekal bersih, selamat dan teratur demi kesejahteraan peniaga serta pengunjung.






