LAWATAN TURUN PADANG KE PUSAT TERNAKAN AYAM AYAMAS INTEGRATED POULTRY SDN. BHD., MUKIM LINGGI, PORT DICKSON
Port Dickson, 16 April 2026 – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan telah mengadakan satu lawatan turun padang ke Pusat Ternakan Ayam Ayamas Integrated Poultry Sdn. Bhd. di Mukim Linggi.
Lawatan ini diketuai oleh Haji Muhammad Bazlan bin Abdul Rahman (Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD) serta diiringi oleh Encik Khairil Rizal bin Mahtar (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran) dan Encik Azhar Aswandi bin Zainuddin (Pembantu Kesihatan Awam), bersama wakil daripada pihak Ayamas Integrated Poultry Sdn. Bhd.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan serta berkongsi maklumat berkaitan pelaksanaan SOP penternakan, tahap kebersihan ladang, serta pengurusan persekitaran kawasan ternakan. Selain itu, sesi perbincangan turut diadakan bagi memahami kaedah operasi di lapangan serta mengenal pasti amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen MPPD dalam memastikan aspek kesihatan awam, kebersihan dan pengurusan persekitaran sentiasa diberi perhatian serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Dalam masa yang sama, pihak ladang turut diminta untuk menyelenggara pokok-pokok yang memasuki rizab jalan sehingga menghalang pandangan dan berpotensi mendatangkan risiko kemalangan.
MPPD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh pihak Ayamas Integrated Poultry Sdn. Bhd. sepanjang lawatan ini.






