LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD KE PANTAI PURNAMA, PORT DICKSON
Pada 16 Jun 2026, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Hasnor bin Abd Hamid, telah mengadakan lawatan turun padang ke Pantai Purnama, Port Dickson bagi meninjau keadaan semasa kawasan pantai serta mengenal pasti kerosakan dan keperluan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada beberapa isu yang memerlukan perhatian segera, antaranya kerosakan cerun dan laluan pejalan kaki yang mengalami kerosakan akibat kesan tanah runtuh, keadaan wakaf yang memerlukan kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan landskap termasuk pemangkasan pokok dan pembersihan pokok tumbang di sekitar kawasan pantai.
Lawatan ini turut disertai oleh Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran & Kesihatan MPPD serta wakil daripada pihak SWM.
Susulan hasil lawatan dan pemeriksaan di tapak, pihak SWM telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan kerja-kerja pemangkasan dahan dan ranting pokok yang menghalang laluan pejalan kaki di beberapa lokasi sekitar Pantai Purnama. Tindakan pantas ini dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung serta memastikan laluan awam berada dalam keadaan selesa dan selamat untuk digunakan.
Hasil lawatan ini juga akan dijadikan asas bagi merancang tindakan susulan dan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan secara berperingkat demi memastikan Pantai Purnama terus kekal sebagai destinasi rekreasi yang bersih, selamat dan selesa untuk dinikmati oleh orang ramai.
Usaha ini mencerminkan komitmen MPPD dalam memastikan kemudahan awam dan kawasan rekreasi sentiasa berada dalam keadaan terbaik demi kesejahteraan penduduk serta pengunjung yang berkunjung ke Port Dickson.






