LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD DI JALAN PERSEKUTUAN FT005,LUKUT
Port Dickson, 2 Julai 2026 – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), YBrs. Tuan Hasnor bin Abd. Hamid telah mengadakan lawatan turun padang di Jalan Persekutuan FT005, Lukut bagi meninjau isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di laluan utama menuju ke Port Dickson.
Lawatan ini turut disertai oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Port Dickson yang diketuai oleh Puan Siti Nurlydea Binti Mohd. Mazlan, Jurutera Awam J9, bersama wakil Jabatan Kejuruteraan MPPD, Jabatan Perancang Bandar MPPD, Pejabat Daerah Port Dickson serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara perkara yang dibincangkan ialah keadaan jalan sedia ada yang sempit, cadangan pelebaran jalan serta langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan kapasiti laluan dan melancarkan aliran trafik. Perbincangan turut memberi fokus kepada kesesakan yang sering berlaku pada hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Port Dickson.
Lawatan turun padang ini bertujuan menilai keadaan sebenar di lokasi, mengenal pasti punca permasalahan serta membincangkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan. Kerjasama strategik antara semua agensi yang terlibat diharap dapat mempercepat pelaksanaan inisiatif penambahbaikan demi memastikan aliran trafik yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada semua pengguna jalan raya.






