LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD DI JALAN PANTAI (FT005), BERHADAPAN EMBOK VILLAGE, PANTAI BAGAN PINANG
Port Dickson, 2 Julai 2026 – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), YBrs. Tuan Hasnor bin Abd. Hamid telah mengadakan lawatan turun padang di Jalan Pantai (FT005), berhadapan Embok Village, Pantai Bagan Pinang bagi meninjau isu kesesakan lalu lintas serta meneliti cadangan penambahbaikan pengurusan trafik di lokasi tersebut.
Lawatan ini turut disertai oleh Encik Mohammad Mohaiyaddin bin Hasin, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPD, wakil-wakil Jabatan Kejuruteraan MPPD serta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Port Dickson yang diketuai oleh Puan Siti Nurlydea Binti Mohd. Mazlan, Jurutera Awam J9.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi penyediaan kemudahan pusingan U untuk pengguna jalan raya selepas keluar dari kawasan Pantai Bagan Pinang. Cadangan ini dijangka dapat meningkatkan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan di laluan berkenaan. Sehubungan itu, pihak JKR Daerah Port Dickson akan menjalankan kajian lanjut dari aspek teknikal dan keselamatan bagi menentukan kesesuaian cadangan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
Lawatan ini bertujuan menilai keadaan sebenar di lokasi, mengenal pasti isu yang dihadapi serta membincangkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan. Kerjasama erat antara MPPD, JKR dan agensi-agensi berkaitan diharap dapat mempercepat pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan demi memastikan sistem lalu lintas yang lebih teratur, selamat dan selesa kepada penduduk serta pengunjung ke Port Dickson.






