LAWATAN TAPAK PENILAIAN PERMOHONAN PROGRAM BANTUAN BAIK PULIH RUMAH DI BANDAR (PBPR)
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengadakan Lawatan Tapak Penilaian Permohonan Program Bantuan Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) bagi menilai keadaan sebenar kediaman pemohon yang memohon bantuan di bawah peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Program Bantuan Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang bertujuan membantu golongan B40 memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif melalui kerja-kerja baik pulih rumah yang diperlukan.
Lawatan ini melibatkan seramai tujuh (7) orang pegawai daripada Jabatan Pelancongan, Korporat dan Komuniti serta Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), MPPD. Antara lokasi yang dilawati ialah Flat Kos Rendah Astana Harmoni dan Rumah Rakyat Pengkalan Durian, Linggi.
Penilaian di lokasi dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan rumah serta mengesahkan maklumat permohonan sebelum dibawa untuk pertimbangan dan pengesahan dalam Mesyuarat Focus Group Daerah Port Dickson.






