LAWATAN PENGESAHAN SIAP KERJA BAGI PROJEK PEMASANGAN LAMPU SOLAR DI HADAPAN PD MARINA DAN DI PUSAT PERNIAGAAN LUKUT PRIMA, PORT DICKSON
Tarikh : 20 Oktober 2026
Lokasi : Hadapan PD Marina dan Pusat Perniagaan Lukut Prima, Port Dickson
Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengadakan lawatan pengesahan siap kerja bagi projek pemasangan lampu solar di hadapan PD Marina dan di Pusat Perniagaan Lukut Prima, Port Dickson, bagi memastikan kemudahan pencahayaan awam yang disediakan memenuhi keperluan dan standard kualiti yang ditetapkan.
Lawatan ini diketuai oleh Setiausaha MPPD, YBrs. Encik Mohd Azizul Hakim bin Zaini, bersama Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPD, Encik Mohamad Mohaiyaddin bin Hasin, Penolong Jurutera serta pihak kontraktor bagi meneliti dan mengesahkan kerja-kerja yang telah dilaksanakan agar menepati skop, spesifikasi teknikal dan tahap keselamatan yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan pada waktu malam, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selesa kepada pengguna jalan raya, peniaga serta pengunjung.
Penggunaan teknologi lampu solar turut menyokong usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih cekap dan mesra alam.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MPPD dalam memperkukuh infrastruktur perbandaran yang berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan Port Dickson yang lebih progresif dan lestari.






