MPPD telah mengadakan Bengkel Penambahbaikan Proses Prosedur OSC 3.0 ‘Plus’ dan Pelaksanaan ‘Fast Lane’ di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan berkaitan dengan penambahbaikan inisiatif baharu oleh KPKT yang telah dilancarkan pada Januari 2024. Antara penambahbaikan inisiatif baharu tersebut adalah ‘Industrial Green Lane’ (IGL) dan ‘Prerequisite’. Inisiatif ini seiring dengan Transformasi PBT iaitu “Ease of Doing Business”.
Seiring dengan perkembangan pesat dalam sektor pembangunan industri, keperluan untuk memastikan kelancaran proses kelulusan pemajuan, kepatuhan kepada undang-undang perancangan dan pembinaan menjadi keutamaan di MPPD. Ini memerlukan pendekatan yang lebih inovatif dan cekap dalam menguruskan sumber yang terhad di MPPD untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping sebagai hala tuju Port Dickson untuk mencapai Bandar Mampan. Justeru, Cadangan penambahbaikan ini akan membantu dan memudahcara permohonan Cadangan Pembangunan yang dikemukakan oleh pemohon.
Antara Objektif Penambahbaikan dan Pelaksanaan IGL/‘Fast Lane’ adalah dengan memudahcara perunding dan pemaju dalam pengumpulan data dan proses pra-rundingan (ulasan awal), penyelarasan ulasan yang lebih efisien dan kolektif, memendekkan tempoh kelulusan pemajuan dan mempercepatkan proses pembinaan dan operasi perniagaan di tapak sekaligus meningkatkan pelaburan melalui peningkatan perkhidmatan penyampaian yang lebih mesra pelabur.
Untuk makluman, Unit Pusat Setempat (OSC) telah menerima beberapa projek yang berimpak tinggi dan kawasan projek telah dikenalpasti untuk menggunapakai inisiatif baharu di Port Dickson iaitu Taman Perindustrian Springhill dan Eco Business Park IIV. Sehubungan itu, bagi menyokong pelaburan tersebut, kesediaan semua agensi terlibat perlu ditingkatkan bagi mempercepatkan proses kelulusan projek pembinaan melalui Pelaksanaan Inisiatif IGL ataupun Pelaksanaan ‘Fast Lane’





