LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD KE PROJEK PEMULIHARAAN PANTAI MORIB, SELANGOR
Pada 7 Julai 2026, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Hasnor bin Abd. Hamid telah mengetuai lawatan turun padang ke Projek Pemuliharaan Pantai Morib, Selangor sebagai sebahagian daripada sesi penanda aras bagi Projek Pemuliharaan Pantai Teluk Kemang yang bakal dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah dliluluskan dalam RMK-13.
Lawatan ini turut disertai oleh Setiausaha MPPD, Encik Mohd Azizul Hakim bin Zaini, bersama pegawai daripada Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perlesenan serta Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD. Turut hadir ialah Jurutera Daerah dan pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Port Dickson.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan taklimat oleh wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor bersama pihak kontraktor mengenai pelaksanaan Projek Pemuliharaan Pantai Morib yang meliputi latar belakang projek, objektif pelaksanaan, skop kerja, kaedah pembinaan, teknologi yang digunakan, kemajuan semasa projek serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh pelaksanaan sebelum dibawa meninjau kawasan projek.
Lawatan penanda aras ini bertujuan mendapatkan pendedahan secara menyeluruh terhadap pendekatan, teknologi serta amalan terbaik yang diguna pakai dalam pelaksanaan projek pemuliharaan pantai. Segala input dan pengalaman yang diperoleh akan dijadikan rujukan dalam pelaksanaan Projek Pemuliharaan Pantai Teluk Kemang, sekali gus membantu memperkukuh usaha menangani hakisan pantai, melindungi kawasan pesisir serta memelihara keindahan Pantai Teluk Kemang sebagai antara destinasi pelancongan utama di Negeri Sembilan.
MPPD komited untuk terus menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi-agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan dan pemuliharaan yang dilaksanakan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat serta menjamin kelestarian alam sekitar.





