LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD KE TAPAK CADANGAN PEMBINAAN MASJID TERAPUNG DI PANTAI CAHAYA NEGERI, PORT DICKSON
Port Dickson, 3 Julai 2026 – Pantai Cahaya Negeri bakal lebih bercahaya dengan pembinaan sebuah masjid terapung. Demi projek yang bakal menjadi mercu tanda baharu di Port Dickson, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), YBrs. Tuan Hasnor bin Abd. Hamid mengorak langkah ke hadapan dengan mengadakan lawatan turun padang ke tapak cadangan pembinaan Masjid Terapung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson bagi meninjau persediaan awal projek yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Lawatan ini turut disertai oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak kontraktor, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan serta Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar, Majlis Perbandaran Port Dickson.
Lawatan ini bertujuan meneliti dan menentukan laluan yang akan digunakan oleh jentera serta kenderaan pembinaan sepanjang pelaksanaan projek. Selain itu, perbincangan turut diadakan bagi menyelaraskan semula syarat-syarat pelaksanaan dengan reka bentuk yang dikemukakan oleh pihak kontraktor serta menetapkan lokasi yang bersesuaian bagi pemasangan papan tanda projek.
Turut dibincangkan ialah fungsi struktur saliran sedia ada yang dibina semasa kerja-kerja penambakan pasir terdahulu. Pihak kontraktor diminta meneliti semula reka bentuk bagi memastikan sistem saliran dan laluan pelepasan air ke laut terus berfungsi dengan baik sebelum sebarang kerja pengubahsuaian dilaksanakan.
Lawatan ini menjadi platform penyelarasan antara JKR, JPS, pihak kontraktor dan jabatan-jabatan berkaitan bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan projek dirancang dengan teliti sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
MPPD komited untuk terus memberikan kerjasama kepada JKR, JPS dan semua agensi yang terlibat bagi menyokong kelancaran pelaksanaan projek yang dijangka menjadi salah satu mercu tanda baharu di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.





