Jabatan Penguatkuasaan telah mengadakan Lelongan Haiwan Sitaan (Kerbau) pada 23 September 2026 di Stor Unit Haiwan Terbiar yang tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.
Lelongan tersebut melibatkan tiga (3) ekor kerbau dewasa dan satu (1) ekor anak kerbau, hasil tindakan sitaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPPD berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Hasil daripada jualan lelongan tersebut, jumlah keseluruhan hasil lelongan yang diperoleh adalah sebanyak RM8,500.00.
NASIHAT DAN PERINGATAN JABATAN
Pihak Jabatan Penguatkuasaan MPPD turut menasihatkan dan mengingatkan semua PEMILIK ternakan supaya bertanggungjawab dan tidak membiarkan atau melepaskan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing berkeliaran di tempat awam, kawasan perumahan/taman serta jalan raya.
Tindakan tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam, membahayakan keselamatan orang awam serta pengguna jalan raya dan berpotensi menyebabkan kemalangan. Oleh itu, pemilik atau penjaga ternakan hendaklah memastikan ternakan sentiasa berada di kawasan yang sesuai, terkawal dan tidak mengganggu keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Pihak Jabatan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap mana-mana pemilik atau penjaga ternakan yang didapati gagal mematuhi peraturan dan membiarkan ternakan berkeliaran sehingga menimbulkan kacau ganggu atau bahaya kepada orang awam.





