MAJLIS PERASMIAN DAN PECAH TANAH PELABUHAN MIDPORT (SMART AI CONTAINER PORT)
14 Julai 2026 | Quest Hotel, Port Dickson
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kejayaan penganjuran Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport, yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia serta YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan strategik berimpak tinggi di Port Dickson.
Projek Smart AI Container Port merupakan hasil usahasama strategik antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) dan Midport Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat kepada Tanco Holdings Berhad. Pembangunan di kawasan seluas 180 ekar ini merupakan pelabuhan kontena pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Malaysia, sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, memperkukuh sektor logistik negara serta meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan serantau.
Untuk rekod, projek ini telah memperoleh Kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) pada Disember 2025. Kelulusan ini mencerminkan komitmen berterusan MPPD sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dalam mempercepat dan memudah cara proses pembangunan strategik melalui penyelarasan yang cekap, telus dan sistematik, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem pelaburan negara.





