Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah menjalankan operasi pemeriksaan pengendali makanan dan kebersihan Bazar Ramadan di Bandar Springhill, Taman Vista Jaya, Linggi, Bandar Sunggala, Taman Sunggala Hartamas dan Pekan Pasir Panjang.
Operasi ini melibatkan seramai 12 orang kakitangan yang terdiri daripada anggota Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD, Jabatan Pelesenan MPPD serta Jabatan Penguatkuasaan MPPD.
Operasi pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat permit, tahap kebersihan Bazar Ramadan serta pematuhan arahan larangan penggajian pekerja warga asing di bawah pentadbiran MPPD. Pemeriksaan turut merangkumi pematuhan larangan penggunaan beg plastik sekali guna dan polistirena, serta penggunaan penyedut minuman hanya atas permintaan.
Sebanyak 23 peniaga melibatkan 32 plot jualan diperiksa di semua lokasi bazar ramadan yang diperiksa. Walau bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan-kesalahan tersebut. Pihak MPPD telah memberikan teguran serta nasihat secara lisan kepada peniaga terlibat dan mengarahkan tindakan pembetulan dilaksanakan serta-merta di lokasi pemeriksaan.
Peniaga di Bazar Ramadan turut diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan. Di samping itu, para peniaga dinasihatkan supaya mematuhi syarat-syarat permit Bazar Ramadan MPPD serta peraturan-peraturan lain yang ditetapkan oleh agensi kerajaan dari semasa ke semasa.





