OPS MENCARI DAN MEMUSNAHKAN SARANG BURUNG GAGAK DI BANDAR SPRINGHILL, PORT DICKSON
Port Dickson, 5 Ogos 2026 – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah melaksanakan Operasi Mencari dan Memusnahkan Sarang Burung Gagak di sekitar Bandar Springhill sebagai langkah proaktif bagi mengawal populasi burung gagak yang berpotensi menimbulkan gangguan terhadap kebersihan, keselesaan serta kesihatan awam.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran & Kesihatan, MPPD ini melibatkan seramai 6 orang anggota. Hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan operasi telah berjaya mengenal pasti dan memusnahkan 15 buah sarang burung gagak yang terdapat di atas pokok serta struktur bangunan di sekitar kawasan tersebut.
Pelaksanaan operasi dibuat secara sistematik dengan mengambil kira aspek keselamatan petugas, orang awam serta keberkesanan tindakan kawalan bagi mengurangkan pembiakan dan penempatan burung gagak di kawasan berkenaan.
MPPD akan terus mempergiatkan pemantauan dan melaksanakan operasi kawalan secara berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan burung gagak. Usaha ini merupakan komitmen berterusan MPPD dalam memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, selamat dan kondusif demi kesejahteraan penduduk serta pengunjung.





