PROGRAM PEMBERSIHAN MEGA SELURUH NEGARA SEMPENA HARI CUCI MALAYSIA 2026 – DAERAH PORT DICKSON
PORT DICKSON, 26 September 2026 – Semangat gotong-royong, kebersamaan dan kecintaan terhadap kebersihan alam sekitar jelas terserlah menerusi Program Pembersihan Mega Seluruh Negara – Daerah Port Dickson bersempena Hari Cuci Malaysia 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah dan mendapat penglibatan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat serta agensi.
Program yang diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ini menghimpunkan komuniti setempat, agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, persatuan penduduk, sukarelawan serta rakan strategik dalam satu usaha bersama untuk menjaga kebersihan kawasan daratan dan sungai serta meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Penglibatan pelbagai pihak daripada Persatuan Bot Linggi dan Pengkalan Kempas, penduduk Kampung Tanjung Agas, Politeknik Port Dickson, Kolej UNITI, Persatuan Penduduk Taman Vista Jaya Lukut, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Jabatan Kerja Raya Daerah Port Dickson, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Port Dickson, PDRM Daerah Port Dickson, kakitangan MPPD serta KRT Rumah Rakyat Pekan Lukut telah menyemarakkan lagi suasana program.





