TAKLIMAT PERKHIDMATAN CUTI DI MPPD
Taklimat Perkhidmatan Cuti telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 6 hingga 7 Julai 2026 di The Guest Hotel & Spa, Port Dickson. Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Naqiah Firdaus binti Saari, Penolong Pengarah, Sektor Kemudahan, Bahagian Gaji dan Elaun, Jabatan Perkhidmatan Awam dan turut dihadiri oleh Puan Siti 'Aisyah binti Abu Bakar, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, MPPD.
Program ini telah menghimpunkan pegawai daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit di MPPD dengan objektif memperkukuh kefahaman mengenai dasar, peraturan dan pelaksanaan kemudahan cuti dalam perkhidmatan awam selaras dengan ketetapan semasa JPA.
Sepanjang dua hari pelaksanaan program, para peserta telah diberikan penerangan secara komprehensif berhubung pelbagai aspek pengurusan cuti dalam perkhidmatan awam, meliputi dasar dan prinsip kemudahan cuti. Sesi soal jawab yang diadakan turut memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu-isu berkaitan pengurusan cuti yang dihadapi dalam pelaksanaan tugas di jabatan masing-masing.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan keyakinan peserta terhadap pelaksanaan kemudahan cuti mengikut peraturan semasa yang berkuat kuasa. Pendedahan yang diberikan diharap dapat membantu pegawai melaksanakan urusan pengurusan cuti dengan lebih cekap, tepat dan seragam, seterusnya memperkukuh tadbir urus sumber manusia serta menyokong penyampaian perkhidmatan MPPD yang lebih berkualiti, profesional dan berintegriti.





