Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China. Aktiviti perdagangan yang sibuk antara peniaga dua negara tersebut menonjolkan Selat Melaka sebagai satu tempat perhentian yang sesuai dan praktikal kerana kedudukannya di pertengahan perjalanan bagi saudagar-saudagar kapal itu. |
|
Bagi melengkapi keberkesanan pelabuhan baru ini, berikutnya pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Pelan yang dirangka membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong. |
 |
|
Lagipun, telah dipastikan bahawa landasan kereta api dan pelabuhan laut dalam memainkan peranan penting untuk mengembangkan perdagangan untuk mengeksport timah dari lombong di Sungai Ujong. Untuk memudahkan pembinaan landasan ini, pihak British membawa masuk tenaga buruh dari India. Dengan usaha yang gigih maka landasan itu telah siap dan dirasmikan oleh Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu, Sir John Frederick Dickson. Dengan perasmian landasan kereta api itu, pihak British juga telah menukarkan nama tempat tersebut dari Tanjung menjadi Port Dickson. Sejak dari itu, nama itu telah menjadi sebutan orang ramai di Malaysia malah seluruh dunia. |